Khamis, 27 Oktober 2011

Tiga golongan layak ke syurga


Untuk menghuni syurga Allah, al-Quran menerangkan ciri hambanya yang layak terdiri daripada orang beriman lagi bertakwa :
  • Pertama ialah mereka yang menjauhi penyembahan berhala iaitu menjauhkan diri daripada mensyirikkan Allah yang boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad dan orang yang mendengar arahan Allah dengan mengikutnya melakukan kebaikan, menjauhi larangan-Nya.
Dengan melakukan kebaikan dan menjauhi larangan Allah, jelaslah mereka itulah orang yang bertakwa. Firman Allah yang bermaksud:
Bagi mereka yang menjauhi penyembahan berhala dan kembali mentaati kepada Allah, tersedia khabar gembira. Beritakanlah khabar gembira itu kepada hamba-Ku yang mahu mendengarkan kata-kata (yang hakikatnya dari Allah) lalu mereka mengikuti kata-kata yang terbaik. Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” – (Surah al-Zumar, ayat 17-18)
  • Kedua ialah orang yang beriman dan beramal salih dengan segala suruhan dan menjauhi segala larangannya. Ini dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
Wahai hamba-Ku yang salih, tidak ada rasa takut pada diri kalian di hari ini (hari Kiamat) dan tidak pula kalian rasa sedih. Mereka itulah orang yang beriman kepada tanda kebesaran kami dan mereka yang Islam (menyerah diri kepada Allah).” – (Surah al-Zukhruf, ayat 68-69)
Dalam ayat ini Allah menjelaskan sifat hambanya yang beriman iaitu mereka yang rasa takut pada hari kiamat dan tidak pula berasa sedih untuk meninggalkan dunia kerana mereka adalah orang yang tunduk patuh kepada peraturan Allah di atas muka bumi semasa hayatnya.
  • Ketiga ialah orang Islam. Sesungguhnya syurga itu adalah tempat orang naik saksi bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan-Nya dan mengakui Nabi Muhammad SAW itu adalah hamba dan utusan-Nya.
Apabila orang yang sudah mengakui syahadah, walaupun sebelum itu mereka berada dalam kekufuran akan dimasukkan Allah dalam syurga-Nya kerana ia adalah tempat kembali bagi orang yang sudah memeluk agama Islam.
Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku. Rahmat-Ku sudah mendahului kemurkaan-Ku. Barang sesiapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, nescaya ia berhak mendapat syurga.” – (Hadis diriwayatkan al-Daimali)
Inilah ciri manusia yang akan menjadi penghuni syurga kelak. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang akan menjejakkan kaki ke sana kerana ia adalah tempat yang tidak ada bandingnya dengan tempat dilihat manusia di atas muka bumi ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...